Tugas Seorang Wanita

on Tuesday, September 15, 2009


Sekiranya seorang wanita Islam ingin mengetahui tentang kedudukannya sebagai wanita di dalam Islam, maka dia perlu mengetahui tanggungjawabnya di dalam kehidupan yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t dan perlulah dia berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan pengetahuan (saqafah) yang berguna.


MELENGKAPKAN DIRI DENGAN SAQAFAH

Adalah wajib bagi seseorang wanita Islam untuk memperlengkapkan dirinya dengan 'Saqafah Sya'riyyah' iaitu saqafah yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' terutamanya yang menyentuh fardhu 'ain yang perlu dilakukan oleh setiap individu muslimah. Begitu juga dengan 'Saqafah Ma'siroh' iaitu saqafah yang berkaitan dengan pengetahuan semasa seperti realiti yang ada dari masa ke semasa di negara kita dan juga di luar. Begitu juga mengetahui dengan memperlengkapkan diri dengan akhlak-akhlak mulia untuk menjadi seorang yang benar-benar ahli bagi melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab untuk dirinya dan masyarakat serta untuk mencari Keredhaan Allah s.w.t.

Dalam maksud inilah disini disenaraikan beberapa tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh anggota-anggota muslimah.


1. TERHADAP DEEN

Maksud tanggungjawab terhadap deen ialah :

Pertama : Wanita Muslimin hendaklah beriman dengan Allah s.w.t dengan iman yang sampai kepada peringkat Yakin dan Tomakninah (puas) mengambil tempat dalam jiwa dan menjadi panduan rohani bagi mengatur fikiran dan amalannya. Keyakinan yang dimaksudkan disini ialah keyakinan hingga ke peringkat setiap sesuatu di dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah. Sekiranya di dalam setiap aspek di masih melupakan Allah s.a.w itu bermakna keyakinannya belum mencapai keyakinan yang betul, belum melalui proses yang betul, keyakinan yang tidak jelas dan keyakinan yang tidak berfungsi di dalam kehidupannya. Seseorang yang mempunyai keyakinan yang jelas setiap tindakannya adalah kerana Allah s.w.t semata-mata (tajarrub lillah s.w.t).




Kedua : Keyakinannya terhadap hari akhirat. Dia mesti merasakan bahawa itulah matlamat akhir bagi kehidupannya sebagai seorang Islam. Untuk itu hatinya mestilah betul-betul dibentuk untuk mendapat jaminan apabila sampai kepada matlamat akhir itu.

Dalam masyarakat hari ini kehidupan dunia menjadikan mereka lupa kepada penghidupan akhirat, kerana mereka tidak memiliki hati nurani yang bersih (basiroh) yang boleh membuatkan mereka melihat dan menyaksikan matlamat akhirat itu. Keyakinan kepada akhirat inilah yang membawa kepada penyelewengan yang banyak dalam kehidupan umat Islam hari ini. Walaupun mereka mendakwa mereka yakin kepada akhirat, tetapi jelas di dalam penghidupan mereka, ia menjadi hafalan semata-mata, tidak berfungsi di dalam kehidupan seorang muslim lelaki atau wanita.

Bagaimanakah kita beriman dengan hari akhirat itu hingga seolah-olah kita betul-betul merasai dan menyaksikan bagaimana siksaan Allah s.w.t dan bagaimana pula nekmat Allah s.w.t di akhirat?.

Didalam Al Quran terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan tentang azab dan nekmat di akhirat. Tetapi meskipun perkara itu dilafazkan kepada masyarakat hari ini, ia tidak masuk ke dalam jiwa, tidak pernah terlintas di dalam fikiran, malah ia lalu begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan. Tetapi perkara ini manakala dilafazkan kepada generasi awal Al Quran yang telah diproses oleh Rasulullah s.a.w mereka terus nampak, yakin dan terus percaya serta terus melaksanakannya di dalam kehidupan mereka. Itu merupakan satu perbezaan yang terlalu jauh di antara mereka dengan msayarakat yang wujud sekarang. Justeru itu di dalam hal ini, jiwa mestilah diproses dengan tarbiyyah yang betul supaya ia benar-benar befungsi untuk menerima hakikat percaya kepada hari akhirat, ada pepatah Arab yang berbunyi (bermaksud)' Tidak ada kampung selepas mati ini untuk seseorang itu tinggal di dalamnya, melainkan apa yang di bina dengan amalan-amalannya'.


Ketiga : Hendaklah seseorang wanita muslim meneliti betul-betul perintah Allah s.w.t dari segi larangan maupun tegahanNya tanpa cuai.

Itulah antara kewajipan wanita terhadap deennya. Banyak lagi kewajipan itu, cuma diterangkan secara ringkas sahaja kewajipan-kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap individu.


Perkara ini bukanlah boleh dilakukan secara kebetulan sahaja. Tetapi dalam masyarakat hari ini adakah mereka benar-benar meneliti suruhan-suruhan dan tegahan-tegahan Allah s.w.t?. Kalau mereka menelitinya tentulah tidak ujud kehidupan jahiliyah yang bertaburan di mana-mana sahaja hari ini.

Penelitian yang bersungguh-sungguh, berkehendakkan suatu kefahaman dan kesedaran yang betul di dalamjiwa umat Islam. Jika tidak wujud kesedaran dan kefahaman yang betul tentang bagaimana hendak mengenali jahiliyah dan Islam, akan wujudlah kehidupan yang mencampurkan Islam dan Jahiliyah. Satu ketika dia Islam, di ketika yang lain dia tidak mengiyakan apa yang Islam kata Jahiliyyah. Masa sembahyang dia merasakan adanya hubungan dengan Allah s.w.t, hubungannya dengan matlamat akhirat.

Itu telah menjadikan masalah. Ini adalah kerana kita tidak diperkenalkan kepada Islam dengan cara yang betul. Kita hari ini menerima Islam melalui adat dan warisan. Kita tidak menerima Islam melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul. Kita tidak menerima Islam menerusi keyakinan kepada Allah s.w.t, kepada junjungan Muhammad s.a.w yang membawa deen ini, yang jelas latarbelakang hidupnya. Tetapi oleh kerana kepentingan-kepentingan tertentu mereka menukarkan yang haq itu. Itupun takdir Allah s.w.t yang kita sendiri memilih takdir itu.

Janganlah kita memilih takdir yang buruk dan tidak baik itu kerana kita diberi oleh Allah s.w.t akal fikiran yang waras. Tidak patut seorang yang mempunyai akal fikiran yang waras menerima takdirnya berkesudahan dengan neraka. Sebaliknya tentulah dia mahu takdir yang baik yang berkesudahan dengan nekmat Allah s.w.t dan syurga. Begitulah yang mesti kita fahami tentang tanggungjawab terhadap deen Allah s.w.t.


2. TERHADAP AKAL FIKIRAN

Seorang wanita mesti membekalkan akal fikirannya dengan ilmu yang betul iaitu makrifah Allah s.a.w, makrifah yaqidiyah iaitu punca kepada ilmu lain.

Sekiranya makrifah tidak ada, ilmu lain akan mengambil tempatnya. Sebab itulah ilmu-ilmu yang ada pada hari ini sesat, kerana makrifah Allah s.a.w tidak jelas padanya. Manakala induk makrifah itu tidak jelas padanya, makrifah lain akan menjadi induk kepada ilmu pengetahuan. Dengan itu lahirlah keangkuhan di dalam masyarakat manusia. Orang-orang yang berilmu bermegah dengan ilmunya. Ilmunya digunakan untuk menekan orang-orang lain. Berlakulah kezaliman, penindasan di kalangan masyarakat manusia kerana memahami ilmu tidak secara yang betul.

Tetapi seandainya makrifah kepada Allah s.w.t menjadi punca kepada ilmu yang lain, akan tunduk semuanya kepada makrifah Allah s.w.t, iaitu ilmu itu akan berjalan dengan baik, tidak ada orang-orang yang berilmu menjadi angkuh, sombong, takbur mempergunakan ilmunya untuk kepentingan diri dan bermegah dengannya. Sebaliknya dia akan menggunakan ilmu itu sepertimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Begitulah tugas seorang Islam untuk mendapat ilmu.

Kalau hendak dikaji tentang makrifah Allah s.w.t, mestilah diterima Islam menerusi iman yang betul, melalui sumbernya yang sahih iaitu Al Quran Karim, Sunnah Rasulullah s.a.w dan Seerah Rasulullah s.a.w. Tidak boleh mengambil daripada sumber yang lain. Kalau bersumberkan kepada yang lain, tidak akan berjumpa dengan makrifah Allah s.w.t. Itu yang menyebabkan kesesatan. Kebanyakan manusia hari ini meskipun dia berilmu pengetahuan yang tinggi, tetapi dia sesat kerana tidak berinduk kepada makrifah Allah s.a.w. Seandainya kita menerima ilmu seperti mereka, kita tidak akan merasai mereka sesat. Sebaliknya kita akan turut berbangga dengan mereka. Kita pula takut dengan makrifahnya, tidak takut kepada makrifah Allah s.w.t. Kita menyembunyikan makrifah Allah s.w.t. Kita akan menjadi takut kepada yang lain, takut kepada CIA - takut sangat kepada mereka kerana meeka pandai, cekap dan sebagainya. Kita tidak menjadi takut kepada makrifah Allah s.w.t yang mengetahui segala kesulitan yang ada di dalam jiwa kita, yang mengetahui segala sesuatu.

Sekiranya kita tidak mencari makrifah yang induk terlebih dahulu, iaitu makrifah Allah s.w.t, makrifah lain akan rosak. Makrifah itu juga akan menafikan kewujudan Allah s.w.t. Komunis misalnya dengan makrifah yang ada padanya menolak kewujudan Allah s.w.t. Begitu juga tidak lama dulu seorang pemimpin Russia dengan ilmu yang ada padanya, menolak kewujudan Allah s.w.t yang digunakan untuk ke angkasa lepas untuk melihat tuhan. Katanya ' Tidak ada tuhan pun '. Malangnya ilmu yang ada padanya itu tidak tunduk kepada makrifah Allah s.w.t , sebab itulah dia tidak nampak kewujudan Allah s.w.t. Untuk mendapatkan ilmu yang betul mestilah melalui sumbernya yang betul itiu Al Quran Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w - terutamanya untuk mengenal makrifah Allah s.w.t sebagai punca kepada ilmu yang lain.

Begitulah juga seorang wanita Muslim hendaklah mengetahui tentang sejarah Islam, sejarah peperangan dalam Islam, Siasah dalam Islam, Nasyar (kegiatan-kegiatan Aqli) dalam Islam. Juga bermujahadah, untik memproses jiwa dan melengkapkan diri dengan sifat-sifat yang baik. Dengan memiliki ilmu yang seumpama ini barulah seorang wanita boleh melahirkan ' tasdiq amali ' ititu perlaksanaan dalam bentuk amalan dalam kehidupan. Jika tidak, ilmu akan tinggal ilmu, menjadi perhiasan otak sahaja, tidak berjalan di dalam kehidupannya. Ilmu itu akan tinggal sebagai perbincangan bagi memuaskan kehendak otak dan akal sahaja tetapi tidak lahir didalam bentuk kenyataan. Ilmu yang seumpama itu sebenarnya adalah ilmu yang tidak berguna, ilmu yang tidak berindukkan kepada makrifah Allah s.w.t.

Ilmu sepertimana yang dimaksudkan tadi ialah ilmu yang berkaitan dengan realiti dari masa ke semasa, ilmu yang berkaitan dengan ekonomi, sihhah (kesihatan), sains dan seumpamanya. Semua ilmu -ilmu ini perlu diketahui oleh wanita-wanita kerana bukan lelaki sahaja yang hendak melaksanakan Islam tetapi wanita juga. Manakala wanita hendak melaksanakan Islam, dirinya akan diukur dengan kemampuan ilmu yang ada pada dirinya. Seperti Sayyidatina Aisyah, beliau tahu satu persatu tentang realiti dan syara'.



Apabila para sahabat bertanyakan kepadanya tentang hukum, beliau terus memberikan fatwa. Sekiranya beliau tidak mengetahui tentang realiti dan syara' sahaja diketahuinya , fakwa yang diberikan itu tidak betul. Oleh itu amatlah perlu bagi seorang wanita Islam membaca akhbar harian, majalan bulanan dan seumpamanya. Semua ini berfaedah dan ianya dipanggil Saqafah Istibanah.

Saqafah Istibanah terbahagi kepada dua bahagian iaitu Syara' dan Realiti (waqi'). Membaca merupakan Ilmu Siqqah untuk mengetahui tentang realiti. Kalau realiti tidak diketahui adalah sukar untuk menghukum. Para sahabat Rasulullah s.a.w dan wanita-wanita Islam dahulu mereka mengetahui secara terperinci tentang realiti. Misalnya Asma' binti Abu Bakar, faham tentang realiti. Fatimah binti Al Khattab, orang yang cergas dalam kegiatan Islam yang pertama bukan sahaja faham secara terperinci tentang realiti, malah siasah harakah yang baru diwujudkan Rasulullah s.a.w juga difahaminya. Kalau dibandingkan dengan wanita hari ini disegi kefahamannya ternyata jauh berbeza.


3. TERHADAP RUMAHTANGGA

Hendaklah rumahtangga itu berasaskan di atas dasar taqwa kepada Allah s.w.t sejak hari pertama lagi diwujudkan rumahtangga tersebut atau dalam usaha mewujudkannya. Tidak boleh diujudkan rumahtangga berasaskan kepada adat, nafsu ataupun nilai-nilai masyarakat. Sebaliknya dari awal-awal lagi mesti berasaskan nilai taqwa. Tetapi hari ini adalah seumpamanya itu?. Hari ini ternyata rumahtangga itu ditegakkan di atas asas yang lain - di atas nama keinginan untuk berumahtangga misalnya dan bukannya di atas asas taqwa kepada Allah s.w.t.

Rumahtangga seseorang Muslim hendaklah dipenuhi dengan roh 'Rabbani Al Aatiroh' (roh yang diredhai oleh Allah s.w.t).

" Ingatlah apa yang telah dibawa di dalam rumah kamu tentang ayat-ayat Allah s.w.t dengan hikmah, Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana"

Hendaklah tindakan-tindakan dan segala tuntutan-tuntutan sesebuah rumahtangga itu berada di dalam batas kifayah. Mestilah secukupnya, tidak lebih dan tidak pula kurang. Pertimbangkanlah dengan cara yang cukup sederhana.

" Tidak ada kebaikan dalam pembaziran dan tidak ada pembaziran di dalam kebaikan ".

Yang dituntut ialah al - i'tidal (kesederhanaan) di dalam semua hal kerana itulah sifat seorang Mukmin.

" Sebaik-baik urusan ialah kesederhanaan ". Islam adalah deen WASOT (pilihan).

Sifat kesederhanaan itulah yang paling baik. Janganlah keterlaluan di dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Bukanlah pula bermakna tidak boleh menggunakan nekmat yang Allah kurniakan. Sayyidina Osman misalnya, kudanya lebih baik dan lebih cantik daripada kuda Rasulullah, rumahnya lebih baik dan lebih cantik, begitulah juga hamparannya, kerana kemampuan yang ada padanya dia menggunakan nekmat Allah s.w.t itu. Kerana itu sebahagian daripada mensyukuri nekmat Allah s.w.t. Penggunaan itu berdasarkan kepada keimanan bukan berdasarkan hawa nafsu. Sekiranya berdasarrkan hawa nafsu akan lahirlah sifat seperti menunjuk-nunjuk. Tetapi berbeza kalau penggunaannya berdasarkan iman. Ada benda yang hendak ditunjukkan tetapi itu dilakukan dalam rangka mensyukuri nekmat Allah s.w.t.


4. TERHADAP MASYARAKAT

Kalau tidak ada perhubungan dengan masyarakat, kita berpisah daripada masyarakat. Maka akan lahirlah masyarakat itu masyarakat yang tidak ada unsur-unsur Islam. Kita mesti bersama-sama dengan mereka dan melahirkan tindakan-tindakan Islam supaya masyarakat itu lahir dengan amalan Islam. Oleh itu kita perlu berjuang bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran Allah s.w.t. Tidak takut kepada ugutan dan gangguan kerana menegakkan kebenaran Allah s.w.t. Tetapi di dalam usaha menegakkan kebenaran ini banyak ujian-ujian daripada Allah s.w.t. Malah kadangkala ujian itu datangnya daripada orang-orang yang mengaku mereka itu hendak membuat kebaikan kepada manusia.

Dalam usaha ataupun kerja-kerja terhadap masyarakat, dalam rangka membentuk masyarakat Islam yang belum lagi wujud, perjuangan seorang wanita Islam adalah sangat besar, perjuangannya untuk memahami fikrah yang betul, untuk menyampaikannya kepada orang lain, untuk bertindak melaksanakannya, untuk bergiat dalam harakah bersungguh-sungguh.

Wanita-wanita yang tidak ada Saaqafah Islamiyah sangat banyak, milaiyin (berjuta-juta) dikalangan orang yang mendakwa diri mereka orang Islam. Ini memerlukan tenaga yang besar daripada orang-orang yang sedar untuk memberi ilmu yang betul kepada mereka. Tidak takut dan tidak gentar kepada ugutan dan azab siksaan orang lain.








PENGALAMAN ZAINAB AL GHAZALI

Telah berlaku suatu peristiwa di dalam abad ini ke atas seorang wanita Mesir yang bergerak di dalam harakah Islamiyyah di Mesir yang dapat dijadikan teladan.

Semasa perkahwinan akan dijalankan antaranya dengan suaminya, Zainab al Ghazali telah mengenakan syarat supaya suaminya membenarkannya untuk bergiat di dalam harakah Islam. Katanya, “ Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah s.w.t.Saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya. “.

Dia memperingatkan suaminya lagi “ Sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan da’wah, akan berakhir perkahwinan dan kekal da’wah kepada Allah s.w.t. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa’ kepada Allah s.w.t supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah s.w.t. “

Apakah kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh Zainab al Ghazali dan rakan-rakannya untuk harakah Islamiyyah ?.

“ Mengkaji, membahas, membaca sepuluh ayat-ayat suci al Quran al Karim, mengingati hukum-hukum, perintah-perintah Allah s.w.t secara mendalam. Manakala kami sudah benar-benar faham sepuluh ayat yang lain, berpadu kepada apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Kami kemudian membuat keputusan untuk meneruskan pengajian ini berpandukan kepada apa yang dijelaskan oleh Asy Syahid Syed Qutb dengan izin Hassan Hudaibi sebagai mursyid harakah supaya meneruskan tarbiyyah, bertaqwin (membentuk), I’dad (persediaan-persediaan melengkapkan diri) dan menahan aqidah tauhid di dalam jiwa dan berpuas hati atau yakin tidak ada Islam bagi kami melainkan syariat Islamiyyah ini kembali berkuasa dengan kitab-kitab Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah s.a.w. Kami juga membuat keputusan supaya program tarbiyyah ini berjalan selama 13 tahun kerana kami merasakan bahawa kaedah atau asas kepada pembentukan ummah Islamiyyah ialah berdasarkan atau di asaskan kepada mereka yang betul-betul ‘ committed ‘ dengan syariat Islam. Tidak boleh diasaskan syariat Islam dengan masyarakat yang tidak faham Islam kerana mereka tidak yakin. Sebaliknya mereka perlu dididik oleh orang-orang yang faham tentang Islam.




Zainab al Ghazali telah ditahan dan disiksa semasa di dalam tahanan dengan bermacam-macam siksaan. Dia dimasukkan ke dalam kolam air selama beberapa jam, kemudian di tempat panas, sampaikan ke peringkat dilepaskan orang gila masuk ke dalam tempat tahanannya. Tetapi dengan kekuatan yang dikurniakan Allah, dia telah mencekik lelaki itu sehingga mati. Anjing yang ganas dan lapar telah dilepaskan juga. Semasa diserang oleh anjing-anjing tersebut yang diingatinya hanyalah Allah dan Rasul. Dibacanya ayat-ayat Allah s.w.t, manaka bila sedar dari pengsannya, tidak terdapat kesan-kesan darah pada pakaiannya yang puteh itu. Begitulah juga keadaannya sewaktu disiksa.

Dia telah diminta supaya mengeluarkan rahsianya oleh pihak berkuasa. “ Kalau kamu tulis semua itu, kami akan lepaskan kamu. Kami akan bawa kamu berjumpa Gamal Abdul Nasser dan Abdul Hakim ‘Amil dan kamu akan diberikan jawatan istimewa “. Begitu sekali dijanjikan kepadanya. Zainab al Ghazali pun menulis : “ Apa yang kami buat adalah begini,kami membuat perhimpunan pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi adalah untuk mengkaji kitab-kitab Fiqh, Sunnah, Hadith, Tafsir, Kitab Muhalla (Ibn Has), kitab Zaadul Ma’ad (Ibn Qayyim), Ma Alim Fi Tariq ( Syed Qutb ) dan juga muzakirah-muzakirah dari kitab. Juga kami kaji sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Semuanya dengan bimbingan dan pimpinan mursyid Hasan Hudaibi.

Tujuan dari kajian ini ialah untuk melahirkan asas yang b etul dan sihat untuk belia-belia Islam. Mudah-mudahan kami dapat membangunkan kembali ketinggian Islam dan tegaklah ummah Islamiyyah dengan penuh berfungsi di bumi Allah s.w.t ini. Kemudian kami berjanji akan sabar untuk membentuk dan membangun ummah ini daripada kalangan muda mudi Islam yang telah hanyut dalam masyarakat kini. Kami berusaha untuk menarik orang-orang yang telah dihanyutkan atau telah hanyut di dalam masyarakat kini, yang tidak kenal lagi Islam, yang tidak gahu lagi insaniyyah (kemanusiaan), kami membuat keputusan usaha-usaha ini akan berjalan selama 13 tahun. Baru selepas itu akan ditegakkan kebenaran di atas muka bumi Allah ini. Sekiranya tarbiyyah 13 tahun itu tidak sempurna, kami akan menjalankan tarbiyyah selama 13 tahun lagi. Kiranya itu juga masih belum mencukupi, kami akan memproses lagi sehinggalah sampai kepada nisbah 75% daripada penduduk ini yang telah mempunyai Wa’Islami yang betul. Begitulah cita-cita kami untuk memproses.

Apakah yang menakutkan Jamal Abdul Nasser ?. Kami tidak membuat apa-apa, cuma hendak mendidik sahaja. Mungkin generasi kamu sudah tidak ada semasa dperkara itu berlaku. Kami tidak mempunyai niat hendak membunuh manusia. Masalah adalah lebih besar daripada pembunuhan. Lagipun fikrah membunuh adalah ditolak oleh Islam. Tetapi kamu sahaja yang mencari sebab supaya menyiksa dan membunuh kami? . Zioniskah ataupun Komuniskah?





Inilah yang menjadikan komunis ataupun Zionis sangat takut kepada golongan-golongan Islam. Oleh itu orang-orang Islam dan orang-orang yang bersimpati ditekan untuk diambil tindakan. Orang-orang yang di bawah sistem ini atau pun orang-orang yang berusaha untuk meneruskan sistem ini dikerah supaya menekan orang-orang Islam. Itulah diantara apa yang telah berlaku kepada Zainab Al Ghazali, seorang mujahadah, yang telah diceritakannya tentang sebahagian daripada kehidupannya di penjara.

Begitulah tugas wanita terhadap masyarakat hari ini. Jelas bahawa masyarakat kini sedang berada dalam arus yang membawa kepada kesesatan yang kesudahannya akan mengakibatkan azab Allah s.w.t bagi mereka. Oleh itu dengan rasa kasihan, dengan sedikit hidayah yang Allah s.w.t kurniakan, dengan rasa tawadhu’ hendaklah kita berjihad untuk memberi kesedaran kepada mereka. Bukanlah untuk berbangga mengatakan kita di pihak yang benar, tetapi berpandukan kepada keyakinan kita dan pengetahuan kita yang bersumberkan sumber yang betul. Berdasarkan kepada keikhlasan itu, Insya’ Allah, Allah akan memberikan hidayahNya. Berdasarkan kepada hidayah yang Allah kurniakan kepada kita, kita cuba pula menyampaikan kepada orang-orang yang kita kasihi, sahabat handai dan keluarga kita dan orang-orang lain. Saranan ini mesti diterima oleh setiap individu Muslim.

Mestilah diproses diri hingga mencapai peringkat Qudwah Hasanah iaitu menjadi contoh yang baik, yang dapat dilihat dalam semua hal. Tidak dalam sesuatu bidang sahaja, kerana itu boleh merosakkan imej Islam dan Syaksiyyah Islam sendiri. Ini menyebabkan orang lain akan menerima gambaran yang salah tentang Islam. Sebaliknya hendaklah mengikuti sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, nampak gambaran Islam yang lengkap ada pada mereka didalam semua aspek. Begitulah yang mesti disampaikan oleh kita. Menjadi contoh di dalam semua aspek. Kalau menjadi contoh bagi sesuatu aspek sahaja, itu bererti menzalimi Islam, memberi gambaran yang salah tentang Islam, menyebabkan manusia sukar untuk menerima Islam. Oleh itu menjadi tugas setiap individu Muslim untuk mempersaksikan Islam selengkapnya.

Perkara ini bukanlah suatu perkara yang boleh didapati secara kebetulan sahaja. Sebaliknya ia mesti melalui proses yang betul dan proses itu pasti memakan masa yang panjang. Untuk mendapat ilmu yang betul juga akan memakan masa yang panjang. Untuk menukar tabiat yang selama ini bertabiat dengan tabiat sistem jahiliyyah kepada tabiat Islam adalah sesuatu yang sukar untuk dihapuskan. Oleh itu mestilah diproses jiwa sedikit demi sedikit dengan penuh kefahaman dan kesedaran. Hendaklah diproses jiwa itu hingga mampu meninggalkan perkara-perkara yang tidak betul. Ini mestilah berdasarkan sumber yang betul. Jadi mestilah banyak membaca dan meneliti al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w sehingga kedua-duanya menjadi darah daging kita. Seperti yang diperjelaskan oleh Sayyiditina Aisyah r.a, bila sahabat bertanyakan kepadanya, bagaimanakah akhlak Rasulullah s.a.w dengan pengalamannya dan penghayatannya,beliau menjawab: Akhlaq al Quran.

Rasulullah s.a.w adalah cermin yang jelas tentang al Quran.

Kita mesti berusaha mengujudkannya walaupun kita berada dalam serba kekurangan ini. Bukanlah hingga ke peringkat yang sempurna kerana untuk mencapai ke peringkat yang sempurna di dalam ertikata yang sebenarnya, seperti yang dicapai oleh para sahabat Rasulullah s.a.w, memanglah sukar. Bagaimanapun manakala kita melalui proses yang betul dan menggunakan sumber-sumber yang betul, Insya’ Allah , natijahnya akan didapati jua, walaupun tidak sama tetapi hampir menyerupai natijah yang telah dihasilkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w.

Kata asy Syahid Hassan al Banna : “ Saya ingin kalau boleh menyampaikan da’wah ini kepada bayi ini semasa dia di dalam perut ibunya “

0 comments:

Post a Comment